Membaca Surah Yaa Siin, Tahlil sempena Sambutan Hari Polis Ke-105




Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 9 Januari. - Bersempena dengan Sambutan Hari Polis Ke-105, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil khusus bagi ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman, serta paduka anakanda baginda, Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.


Majlis yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan berkenaan dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, serta para pengarah, ketua formasi, pegawai, anggota dan kakitangan PPDB.


Bacaan Surah Yaa Sin dan Tahlil telah dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong PPDB, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.


Majlis keagamaan anjuran Badan Ugama Islam (BUI) PPDB berkenaan diadakan sebagai tanda penghormatan dan doa berterusan agar roh para Al-Marhum dan Al-Marhumah dicucuri rahmat, serta bagi memohon perlindungan, keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala demi kesejahteraan pasukan dan negara.

Close